Pro Tajdid mengumpulkan tulisan terpilih tentang fenomena tajdid yang melanda dunia Islam.
Apa itu tajdid? Tajdid bagaimana yang kita mahu? Selongkari arkib blog ini untuk jawapannya!

Dengan melanggan blog ini secara e-mel atau RSS, anda akan diberitahu secara automatik apabila ada entri baru di sini.
Anda mempunyai bahan-bahan menarik berkaitan isu tajdid yang mahu dikongsi di sini? Hubungi protajdid [at] gmail [dot] com.

Pemikiran yang Berbahaya

Kelihatan umat Islam di negara ini saban hari semakin mendalam ilmu mereka terhadap agama ini. Sayugia kita bersyukur kepada Allah dan kita usaha lebih lagi, agar semakin ramai di kalangan kita yang faham agamanya. Kesan dari usaha yang tidak mengenal penat dan jerih ulama zaman silam dalam memartabatkan keilmuan Islam, telah menampakkan hasil yang lumayan ketika ini. Apakah perlu kita rasa bersyukur dengan keadaan sebegini? Ya. Sudah tentu.

Implikasinya adalah, timbulnya satu golongan yang menyatakan bahawa mereka adalah golongan pembaharuan atau tajdid. Golongan tajdid ini berusaha untuk memurnikan semula ajaran Islam, amalan umat Islam yang dikotori noda bid'ah dan perbuatan ibadah tiada nas. Sesungguhnya, kedatangan golongan tajdid ini diperlukan. Fungsi mereka sangat penting untuk menjaga kesucian pengamalan di dalam agama ini. Kerana kita akan sering leka dan lalai dalam semangat untuk beribadah sehingga terlupa kepentingan dan kewajipan kita merujuk nas.

Sudah menjadi satu tradisi, apabila perkara baik datang akan ada manusia yang menangguk di air keruh. Mereka mengambil kesempatan atas nama tajdid. Kesucian nama gerakan tajdid dikotori dengan tindak-tanduk golongan pseudo-tajdid (seolah-olah tajdid) ini malah telah memecah belahkan umat ini kepada kelompok yang banyak. Kita lihat kebanyakan golongan pseudo-tajdid ini menggunakan kata bid'ah itu sewenang-wenangnya dan di mana sahaja. Apa sahaja yang tidak menepati citarasa dan kemahuan mereka, akan seboleh-bolehnya dibid'ahkan.

Harus bagi kita mengenali sifat-sifat asas golongan ini bagi mengelakkan kita terjebak di dalam virus membid'ahkan sesama muslim. Kelompok pseudo-tajdid ini amat mudah sekali kita temui di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) khususnya dalam negeri. Mari kita lihat antara sifat-sifat umum yang ada pada penggerak pseudo-tajdid ini:

  1. Tiada asas pengajian al-Quran dan Hadith yang kukuh. Mereka sekadar membaca dan meneliti hujah-hujah para ulama di dalam kitab-kitab yang sudah diterjemahkan. Penggerak pseudo-tajdid ini hanya mengambil makna lafzhi (makna dari segi lafaz) sahaja dalam terjemahan al-Quran dan Hadith, dan terus menggunakannya sebagai hujjah mereka. Bila anda meminta dibawakan nas, mereka akan bawakan nas dalam keadaan yang tidak ilmiah seperti berkata: "Ada Ustaz A berkata...", "Sheikh B di dalam kitab beliau berkata..", "Masa saya belajar dulu, hukumnya begini..." dan lain-lain yang mana tidak ada pembuktian sahih di depan mata akan nas yang dipegang. Mereka hanya berlegar-legar pada makna nas yang mereka hafaz sahaja. Jangan ditanya pada Asbab an-Nuzul ayat atau pun kedudukan rawi hadith. Kerana mereka tidak tahu

  2. Tiada asas pengajian Usul Fiqh yang kukuh. Golongan pseudo-tajdid IPT ini kebanyakannya tiada asas pengajian Usul Fiqh dan kaedah mengeluarkan hukum yang digariskan oleh Fuqaha Islam. Mereka tidak faham apa ertinya Nas Qat'ie, Nasikh Mansukh, Qiyas, Istihsan, Masaalih Mursalah, 'Amal Ahli Madinah, Qaul Sahabah dan lain-lain. Mereka juga tidak faham kaedah yang digunakan oleh Ulama Mazhab yang empat (Shafie, Maliki, Hanbali dan Hanafi) di dalam meletakkan kedudukan semua yang di atas dalam martabat mengambil nas. Implikasinya, golongan pseudo-tajdid tidak tahu kenapa Imam as-Shafie menyatakan bahawa Bismillah adalah ayat pertama surah al-Fatihah sedangkan gurunya Imam Malik menyatakan Bismillah bukan ayat pertama al-Fatihah.

  3. 'Ilmu' melebihi Mufti dan Ulama. Kehebatan 'ilmu' agama yang ada pada mereka kelihatan pada zahirnya melebihi ulama yang ada. Apa tidaknya? Siapakah yang berani mengatakan bahawa Mufti salah? Siapa pula yang berani menyatakan pandangan ulama silap? Hanya golongan pseudo-tajdid sahaja yang berani menyatakan dengan terangan bahawa mufti itu dan mufti ini salah mengeluarkan fatwa. Malah golongan pseudo-tajdid IPT ini berani juga membawakan nas mereka untuk menguatkan pendapat bahawa fatwa mufti dan ulama itu salah. Bukankah lebih hebat namanya tu?

  4. Mengikut kawan. Atau lebih senang, mereka bermazhab Ik-Wan (Ikut kaWan). Apa sahaja yang kawan seperjuangan mereka katakan, akan diiakan oleh mereka. Malah ada pula yang mengambil pandangan temannya itu sebagai hukum. Kalau si A katakan hukum berzikir dan doa selepas solat itu bid'ah, maka teman seperjuangannya pula akan berkata "Menurut A, hukumnya bid'ah! Masuk neraka"

  5. Tidak menerima hujjah dan nas orang lain. Hal ini sebenarnya berlaku kesan daripada tidak mempunyai ilmu yang cukup dalam bidang al-Quran, Hadith dan Usul Fiqh. Kerana tidak tahu status hadith sahih, mutawatir dan sebagainya, mereka sukar untuk terima hadith lain yang kelihatan bertentangan dengan nas pegangan mereka. Hal ini tidak menghairankan, kerana apabila kita sudah sebati dengan suatu benda, hinggakan kita tidak ambil peduli perkara lain, memang sukar untuk kita ubah pendirian kita terhadap perkara baru yang dibawakan kepada kita.

  6. Tiada mengikut mazhab. Ciri ini kadangkala sukar dimengertikan. Walau pun tidak saya katakan 100% golongan pseudo-tajdid ini tidak bermazhab, tapi ada di kalangan mereka ini tidak berpegang kepada mazhab fiqh khususnya mazhab yang empat. Bagi mereka cukuplah menurut hadith dan al-Quran sebagai ikutan. Takut timbulnya rasa taksub kepada Imam mazhab. Mereka lupa agaknya, bahawa semua Imam mazhab juga mengambil hukum dari al-Quran dan Hadith. Ya. Betul. Kalau kita mengikut al-Quran dan Hadith 100%, kita adalah golongan Ahlussunnah wal Jama'ah yang dijanjikan Syurga. InsyaAllah. Tetapi jangan lupa kepada satu perkara beza antara Imam mazhab dan penggerak kita adalah: IMAM MAZHAB BERMARTABAT MUJTAHID, DAN KITA BERMARTABAT ORANG AWAM. Apakah sama pandangan seorang Mujtahid dalam menilai hadith dengan pandangan orang awam seperti kita?

  7. Salah cara berda'wah. Cara golongan pseudo-tajdid ini dalam berda'wah adalah sangat keras. Malah boleh menyebabkan pertelingkahan dan pergaduhan. Mereka seolah-olah tidak mengamalkan konsep da'wah Rasulullah s.a.w yang menyemai kasih sayang dan lemah lembut dalam seruan. Pseudo-tajdid ini lebih kepada menghukum. Mereka lupa bahawa da'ie itu adalah ibarat seperti seorang posmen yang menyampaikan surat kepada manusia. Jangan dimarah manusia yang membuang surat tadi, tapi sampaikan sahaja dengan baik. Jika anda bertemu dengan mereka yang selalu berkata: "Ah.. apa yang kau buat ni bid'ah.. semua bid'ah itu sesat.. dan sesat itu hukumnya neraka.. kau nak masuk neraka ke?" atau lebih kurang ayatnya sebegitu, berhati-hatilah kerana anda mungkin berhadapan dengan golongan pseudo-tajdid.

  8. 'Lakum dinukum wa liyadin'. Sikap bagi aku agama aku dan bagi engkau agama engkau akan terserlah apabila mereka berdepan dengan penggerak tajdid yang ikhlas dan benar serta mereka yang benar-benar faham erti tajdid dan hukum yang benar. Sikap pengecut ini timbul apabila mereka gagal mempertahankan hujjah mereka akibat dari sikap sombong diri dan cetek ilmu mereka sendiri. Bila sudah sampai kepada satu tahap, di mana mereka rasakan mereka sudah tiada modal lagi, mereka akan berlalu pergi dengan mengatakan: "Lakum dinukum wa liyadin.."

Sahabat sekelian.

Inilah apa yang dapat saya simpulkan dari pemerhatian saya sendiri terhadap gerakan tajdid yang melanda IPT Malaysia sekarang. Saya menyokong penuh gerakan memurnikan Islam di kalangan pemuda dan pemudi di IPT. Kerana mudah-mudahan apabila tunjang negara ini kita bentuk dengan acuan Islam yang sebenarnya, mereka akan keluar kepada masyarakat sebagai role-model yang akan membentuk masyarakat sejahtera dan negara gemilang pula.

Cuma saya bimbang, gerakan pseudo-tajdid yang turut menular, telah menyebabkan kemurnian niat dan tindakan golongan tajdid yang hakiki dipesongkan. Hari ini, jika ditanya kepada muda-mudi pelajar IPT, siapakah golongan tajdid? Mereka sudah pasti menjawab: "Diorang yang selalu cakap buat itu ini bid'ah, masuk neraka dan sebagainya.."

Lihatlah betapa liciknya gerakan pseudo-tajdid ini hinggakan penyamaran mereka berjaya. Umat Islam bingung, apakah gerakan tajdid itu gerakan yang baik atau gerakan memporak-perandakan muslimin? Apakah tujuan utama tajdid itu adalah untuk membid'ahkan semua amalan yang dibuat selama ratusan tahun itu?

Kita terima siapa sahaja untuk memurnikan umat Islam. Tetapi kita tidak boleh terima gerakan pemurnian yang menghancurkan kekuatan umat ini. Jika tidak ada tasamuh dan tolak ansur, amat sukar untuk perkara khilafiah dibahaskan. Kerana masing-masing dengan kekerasan di dalam kepala sendiri.
---

Ditulis oleh Putera Aiman

Menjahilkan Diri Terhadap Musuh

Kelas Sabtu lalu amat berharga. Tidak sia-sia saya berkejar dari Tanjung Malim ke UIA di Gombak dan balik semula ke Tanjung Malim untuk menyambung kerja.

Di dalam pertemuan kami, kelas berdiskusi tentang persoalan pandangan Barat terhadap Islam di Zaman Pertengahan. Tentunya, teks yang menjadi asas diskusi kami adalah rakaman kuliah yang disampaikan oleh R.W. Southern di Universiti Harvard pada April 1961. Ia dibukukan di bawah tajuk, Western Views of Islam in the Middle Ages (ISBN 0-674-95055-0).

Di dalam ucapannya, Southern telah membahagikan era perkembangan persepsi Barat terhadap Islam kepada tiga era iaitu apa yang dinamakan sebagai The Age of Ignorance, The Century of Reason and Hope dan The Moment of Vision.

Di era kejahilan Eropah terhadap agama kita, mereka sangat jahil dan bebal dalam menanggapi Islam. Mereka tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mereka memahami Islam. Contoh terdekat yang boleh mereka gunakan adalah dengan membandingkan Islam dengan tradisi Yahudi. Agama Yahudi mempunyai pelbagai prinsip yang dilihat sama dengan Islam, seperti menegaskan keesaan Tuhan dan menolak Trinity.

Akan tetapi, masalah Eropah ketika itu bukanlah masalah maklumat. Ia lebih kepada masalah sikap dan pemikiran. Mereka sudah lama berjiran dan berhubung dengan umat Islam, tetapi persepsi mereka yang menjadi tembok penghalang.

Selama ini, Eropah memperlekehkan Yahudi yang miskin, melarat, dan dibenci, sebagaimana yang digambarkan oleh William Shakespeare di dalam karyanya The Merchant of Venice. Sedangkan di era sekitar kurun ke 10M, Islam begitu gah dan hebat, tidak seperti imej Yahudi. Kelekehan Yahudi membolehkan Eropah untuk mengabaikan sahaja apa-apa idea mereka, tetapi kredibiliti Islam membuatkan Eropah gelisah kerana tidak boleh memejamkan mata terhadap Islam. Maka cubaan untuk memahami Islam dari imej Yahudi, agak membingungkan. Eropah keliru.

“Seperti seorang banduan yang berada di dalam penjara, kemudian mendengar khabar-khabar angin tentang peristiwa yang berlaku di luar, lantas banduan itu cuba melakar peristiwa yang didengarinya itu, dengan bantuan idea yang telah sedia ada di dalam fikirannya!”, begitulah analogi R.W. Southern untuk membayangkan keadaan penulis Barat tentang Islam sebelum tahun 1100.

Mereka langsung tidak tahu tentang Islam sebagai sebuah agama. Pada mereka, Islam dan Muslim hanyalah sekumpulan musuh yang mengancam dunia Kristian dari segenap sudut. Pada mereka, tidak perlu dibezakan di antara Tauhid Islam dengan penyembahan berhala primitif kaum Northmen, Slavs dan Magyars. Semuanya diangkut sebakul, semuanya adalah musuh agama Kristian.

“Mereka begitu bukan kerana kurang maklumat atau tidak berpeluang mengenal Islam secara dekat”, kata Prof Al-Ahsan.

“Sikap, memandang remeh dan menjahilkan diri terhadap musuh!”, saya menambah.

“Dan dengan kejahilan mereka terhadap musuh, mereka tidak berupaya untuk mengalahkan musuh!”, kata Adam.

Benar, inilah kesimpulan kami kepada bahagian pertama kuliah R.W. Southern tersebut.

“Apa yang kita boleh belajar dari hal ini?”, tanya Prof Abdullah al-Ahsan.

Kami semua tersenyum.

Saya memberanikan diri untuk menjawab.

The Age of Muslim Ignorance

Pada saya, apa yang telah membelenggu Eropah di era itu, hal yang sama jugalah sedang membelenggu pemikiran umat Islam hari ini. Saya bimbang dengan pemikiran simplistik umat Islam di Malaysia hari ini. Jika Tok Wan di kampung, tentulah saya tidak bimbang. Tetapi yang menjadi kerisauan saya adalah tokoh-tokoh masyarakat, ahli politik dan Ulama sendiri.

Di era penghormatan orang ramai terhadap Ulama semakin terhakis, ramai Ulama yang dengan sendiri menambah sebab untuk mereka tidak dihormati.

Suatu ketika, kita beranggapan bahawa semua yang menentang Islam adalah Orientalis. Semua Orientalis adalah musuh Islam. Walaupun mungkin kita bahagikan Orientalis kepada Orientalis klasik, moden, dan pasca moden, namun kita beranggapan bahawa semua kelompok ini bekerja untuk menjayakan agenda penjajahan dan merancang untuk membinasakan Islam. Lantas kita gagal bersikap adil, dan seterusnya terhijab dari mengambil manfaat menerusi kajian Orientalis yang bermaksud baik seperti Arnold Toynbee.

Kita juga marah dengan Orientalis kerana menyalah tafsirkan Islam, bagaimana pula dengan jenayah kita menyalah tafsirkan Eropah? Apakah kita sudah menghasilkan terjemahan Islam terhadap Western Civilization? Orientalis gigih bekerja, dan kita hanya gigih menangkis, semata-mata.

Saya terkejut apabila mendapati ada di kalangan rakan saya yang belajar di Eropah tetapi menumpukan pembacaan tentang Orientalis kepada hasil karya orang Islam terhadap subjek tersebut. Tentunya pembacaan sedemikian rupa akan diwarnai oleh bahasa sacarstic, prejudis dan sinis yang merugikan. Sedangkan saya dan rakan-rakan di Malaysia, kami bertungkus lumus membaca tentang Orientalis berasaskan karya Orientalis sendiri, agar kami tidak bias, dan boleh membuat kesimpulan yang adil tentang mereka.

Kami menempuh kesukaran untuk mendapatkan bahan bacaan tentang Orientalis, dan jika ada terjual di Kinokuniya atau Borders, harganya menyeksa diri. Sedangkan mereka yang berada di Eropah tidak mengambil peluang daripada keberadaan mereka di sana, untuk mendalami isu ini dari sumbernya yang asli.

Pukul Rata

Saya masih ingat di akhir 80an dan awal 90an, kita juga pernah menggunakan pukat tunda untuk melabel musuh Islam. Pada kita, asalkan ada sahaja versi Islam yang ‘anti tradisional’ dan sedikit berbau ‘liberal’, kita tuduh ia sebagai agenda IIIT (masyhur disebut sebagai Tripple I-T) dan Islam ala Amerika. Versi Islam yang direstui Amerika!

Hari ini, kritikan terhadap tradisi Islam semakin tajam, dan kita sekali lagi menggunakan pendekatan yang sempit, melabelkan semua anti Islam sebagai Islam Liberal. Kita tidak halusi pengertian Islam, dan kita tidak teliti dalam pengungkapan Liberal. Walhal, suara-suara ‘Islam Liberal’ yang ada hari ini, Islamnya pun tidak seberapa, Liberalnya pun menimbulkan persoalan.
“Sudah 3 tahun saya berusaha memujuk UIA agar subjek Introduction to the Western Civilization, diangkat menjadi subjek wajib universiti. Paling kurang, ia menjadi subjek wajib pelajar IRK”, kata Prof Abdullah al-Ahsan.

Saya akui, selepas mendalami Sejarah Eropah Moden, berkenalan dengan karya-karya George Sarton, Adam Smith, John Stuart Mill dan ulasan-ulasan Prof al-Ahsan terhadap buku silibus kami, Western Civilization: A Brief History oleh Marvin Perry, dan sebuah lagi buku dengan tajuk yang sama oleh Jackson J. Spielvogel, persepsi saya banyak berubah.

Saya teruja kerana melihat betapa asal usul idea seperti Liberalisma, Nasionalisma, malah Sosialisma, terbit dari kerangka pemikiran berteraskan agama! Eropah yang dibelenggu pelbagai krisis hablun minaLlah dan hablun minannaas, cuba menterjemahkan apa yang mereka faham tentang agama, melalui idea-idea liberal, konservatif, nasionalis dan sosialis.

Fahaman liberal mahu memulihkan identiti setiap insan sebagai individu, memberikan hak kepada mereka untuk berhubung dengan Tuhan tanpa melalui pihak ketiga, serta mahu mendefinisikan hak serta peranan mereka sebagai individu. Konservatif pula mahu memfokuskan hakikat insan sebagai manusia yang tabiatnya adalah berjemaah, bersosial dan berkelompok. Kedua-duanya mahu memperjuangkan aspek yang ada justifikasinya.

Liberalisme Tajdid dan 'Islam Liberal'

Liberalisma muncul di Eropah dalam kerangka agama. Idea tersebut terus berkembang dan mengalami perkembangan dari semasa ke semasa.

Di kalangan masyarakat Islam, golongan Tajdid mahu memulihkan kedudukan individu agar tidak terkongkong oleh taqlid yang bersandarkan kepada institusi agama. Tajdid mahu setiap individu berhak untuk memahami dalil dan sandaran hukum agar dapat beragama tanpa bergantung kepada pihak ketiga. Di sini, prinsip Liberalisma terguna pakai. Malah gerakan Tajdid hari ini, sering pula diseru kepada mencontohi gerakan Liberalisasi Martin Luther yang membawa reformasi agama terhadap institusi Katholik, sebagaimana yang sering dicontohkan oleh Muslim Professional Forum (MPF).

Di satu sudut yang lain, golongan yang sering dilabelkan sebagai ’Islam Liberal’ oleh seterunya, turut menentang ’tradisi agama’. Mereka membangkitkan soal kod moral kerana mahu peranan individu lebih terserlah di dalam otoriti beragama. Di atas titik ini, prinsip Liberalisma turut diguna pakai, walaupun dengan versi Liberalisma yang telah berbeza.

Kedua-dua golongan ini mensasarkan kritikan kepada arah yang sama iaitu golongan konservatif agama. Sedangkan kedua-dua kumpulan ini mempunyai motif yang berbeza. Golongan Tajdid mahu mengukuhkan pegangan individu terhadap agama, sedangkan golongan ’Islam Liberal’ pula mahu melonggarkan ikatan agama.

Namun, jika golongan Tajdid tidak berhati-hati, mereka akan pergi senada dengan golongan ’Islam Liberal’.

Kedua-duanya lantang mengkritik konservatif agama, yang ada di dalam institusi kerajaan, juga parti pembangkang Islam. Golongan Tajdid dan ’Islam Liberal’ bertemu di pentas LIBERALISMA. Pertemuan itu mudah berlaku kerana idea Liberalisma terbit dari usul agama. Liberalisma Tajdid terbit dari Usul Islam, dan Liberalisma aliran ‘Islam Liberal’ pula terbit dari Usul Christendom. Jika konservatif yang ditentang adalah konservatif golongan agama, maka Tajdid dan ‘Islam Liberal’ boleh bangkit senada.

Mungkin inilah yang perlu diperhalusi oleh SS Mufti Perlis ketika menerima siri compliment dari pelbagai pihak atas kelantangannya mengkritik golongan konservatif agama. Institusi agama dikritik, segelintir dari parti pembangkang Islam turut terheret sama, apabila yang bertembung sebenarnya adalah pemikiran Liberalisma dengan Konservatisma.

Sedangkan pada amatan saya, Tajdid yang Liberal mempunyai lebih banyak persamaan dengan kumpulan Islam yang Konservatif, berbanding dengan ’Islam Liberal’ yang menuju ke arah yang berbeza. Jika mindset parti pembangkang Islam yang sering menjadi sasaran kritikan SS Mufti Perlis itu boleh diperbaiki, kerjasama antara Tajdid dengan perkumpulan Islam ini adalah lebih tulen bagi agenda membela Islam.

Semoga hal ini tidak menjadi musibah kepada Ummah!

Penjenayah di Sebalik Darwinisme

Saya sering melihat Teori Evolusi sebagai suatu bencana, khususnya apabila ia diterjemahkan dalam bentuk ‘hak bangsa hebat seperti Barat untuk menjajah bangsa yang lebih lemah’. Saya memperolehi banyak sumber untuk mengutuk Charles Darwin (1809-1882) yang telah mengemukakan teori ’syaitan’ ini. Karangan-karangan yang terbit dalam kerangka ‘bahasa konspirasi’ seperti tulisan Harun Yahya, menambah lagi kebencian saya terhadap Darwinisma.

Tetapi selepas membaca sendiri susur galur perkembangan Darwinisma dari sumber Eropah, saya dapat melihat dengan jelas, benih tumbuhnya idea ini. Bermula dari kajian datuk kepada Charles Darwin iaitu Erasmus Darwin yang telah menulis pada tahun 1794, Zoonomia (The Law of Organic Life), membawa kepada kajian Charles Darwin di dalam Origin of Species (1859) dan Descent of Man (1871), saya dapat melihat bahawa penjenayah terbesarnya adalah golongan yang datang kemudian. Bukannya Erasmus dan Charles itu sendiri. Golongan Social Darwinists adalah golongan yang bertanggungjawab memindahkan teori saintifik Charles Darwin kepada aspek sosial dan ekonomi, yang menjadi teras kepada Kolonialisma. Berlaku adil kepada kawan dan lawan, adalah prinsip tinggi di dalam Islam.

Jika kita boleh akur bahawa idea-idea yang muncul dari Barat itu banyak yang diaspirasikan oleh agama, maka tidaklah sukar untuk kita melihat faedah idea ini kepada pemulihan Islam. Bukan memulihkan Islam dengan sentuhan Barat, tetapi meminjam prinsip agama Islam yang secara tidak langsung diperhaluskan dalam bentuk polisi oleh tamadun Barat. Asalkan kita adil terhadap kawan dan lawan, boleh menghargai perkembangan sejarah terhadap satu-satu idea.

Tidaklah nanti, kita sentiasa paranoid terhadap apa sahaja yang bernama Barat!

Paranoid inilah yang merugikan umat Islam di Barat hari ini.

Paranoid Terhadap Semua yang Barat

Sehingga kini saya masih lagi menjadi ahli kepada The Islamic Schools League of America. Jika dinilai dari sudut pendidikan sahaja pun, umat Islam di Amerika Syarikat sudah jauh lebih maju meninggalkan pencapaian umat Islam di United Kingdom, Ireland dan Perancis. Malah dari segi politik, Keith Ellison sudah berjaya menempatkan dirinya sebagai anggota Muslim pertama di Dewan Kongress Amerika Syarikat.

Tetapi ramai umat Islam yang masih paranoid. Ada yang melabelkan Keith Ellison sebagai Zionis Muslim, semata-mata beliau menerima undi daripada sejumlah orang Yahudi di tempat beliau bertanding!

Umat Islam di United Kingdom masih melatah-latah apabila Shaykh Haitham Jawwad Al-Haddad menyarankan agar umat Islam yang menghuni United Kingdom mengundi parti yang diputuskan oleh Muslim Council of Britain. Mereka menafsirkan partisipasi umat Islam di dalam policy making di negara di mana mereka tinggal, sebagai penyertaan kepada sistem Kuffar. Maka hadith-hadith tentang imitasi satu kaum ke atas satu kaum, konsep tiada dua hati dalam satu badan, isu al-Wala’ dan al-Baraa’ diguna pakai. Lantas umat Islam Eropah memilih isolasi (pemencilan) berbanding integrasi yang lebih harmoni dengan maksud dakwah.

Hal yang sama, saya ratapi apabila melihat kepada perkembangan semasa di Malaysia. Kita meremeh temehkan Eropah dan mengaggapnya sebagai bakul sampah falsafah Yunan dan Greek yang tidak perlu dibuka tudung, agar busuknya tidak melata.

Apabila Ulama tidak mahu menghalusi asas-asas pemikiran Barat, mereka gagal berinteraksi dengan cabaran semasa secara betul. Apabila golongan yang digelar sebagai Islam Liberal bersuara mengkritik beberapa idea tentang Islam, Ulama kita menjawabnya dengan bahasa sempit yang memalukan Ulama sendiri.

Teletubbies

Saya ingin berkongsi kisah tentang perbualan saya bersama beberapa orang rakan tentang rancangan kanak-kanak terkemuka di Britain iaitu Teletubbies. Salah satu watak yang ada di dalam rancangan tersebut, dianggap mewakili watak gay, iaitu Tinky Winky. Seorang ‘budak lelaki’ yang berwarna ungu dan bersimbol tiga segi di kepala (warna dan simbol yang sering dikaitkan dengan homoseksualiti) serta membawa beg tangan.

Lantas rakan-rakan saya mengecam rancangan televisyen tersebut.

“Ini konspirasi Barat mahu merosakkan Islam”, kata salah seorang dari kami.

“BBC sengaja mahu menyuntik budaya songsang ini kepada pemikiran kita”, kata seorang yang lain.

Saya termenung.

Benarkah bagai yang didakwa? Apakah semua benda yang tidak bersesuaian dengan kita, datang dari sebuah konspirasi?

Pada fikiran saya, pemikiran Liberal kuat mendominasi masyarakat di England. Golongan gay, sama juga seperti golongan berkulit hitam, golongan OKU malah kumpulan minoriti Islam, sudah diiktiraf sebagai sebahagian daripada kumpulan yang membentuk masyarakat Britain berdasarkan kepada terjemahan Liberalisma semasa.

Maka rancangan ini, jika benar Tinky Winky itu dimaksudkan dengan watak gay, adalah rancangan yang bertujuan mendidik kanak-kanak pra sekolah Britain terhadap polisi negara mereka sendiri. Sebagaimana mereka perlu menghormati penganut mazhab Katholik, mereka juga mesti hormat kepada umat Islam, kaum wanita, golongan hispanic, malah golongan gay.
Ia bukan konspirasi. Unsur itu masuk secara telus dan sedar.

Jika kita rasakan NILAI itu tidak sesuai dengan pegangan kita, maka tinggalkan sahaja rancangan tersebut. Untuk melabel penerbit Teletubbies sebagai ahli konspirasi dan berniat jahat, ia hanya menunjukkan kejahilan kita dan sempitnya fikiran yang mengongkong.

Untuk itu, saya sering meminjamkan nasihat dan cadangan kepada rakan-rakan yang aktif beramal di dalam gerakan Islam, agar berusaha untuk belajar tentang Eropah. Belajar tentang Eropah dari sumber Eropah. Kita tidak perlu berada di Eropah untuk belajar tentang Eropah, sebagaimana masyarakat kita tidak perlu berada di Eropah untuk telah menjadi Eropah.

Mahu tidak mahu, acuan pemikiran dan nilai Eropah itulah yang sedang menguasai umat Islam, juga bukan Islam di negara kita.

Semakin kita menjahilkan diri terhadap musuh, semakin terserlahlah kebodohan kita ketika mendepani mereka.
---

Ditulis oleh Ustaz Hasrizal

Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama

 
Setiap tulisan yang ada di sini adalah digalakkan untuk disebarkan. Pro Tajdid direkabentuk oleh Tawel Sensei sambil melayan Radio IKIM.