Pro Tajdid mengumpulkan tulisan terpilih tentang fenomena tajdid yang melanda dunia Islam.
Apa itu tajdid? Tajdid bagaimana yang kita mahu? Selongkari arkib blog ini untuk jawapannya!

Dengan melanggan blog ini secara e-mel atau RSS, anda akan diberitahu secara automatik apabila ada entri baru di sini.
Anda mempunyai bahan-bahan menarik berkaitan isu tajdid yang mahu dikongsi di sini? Hubungi protajdid [at] gmail [dot] com.

Gerakan Tajdid Sepanjang Zaman

Banyak SMS dalam kotak box telefon bimbitku, minta supaya aku mengulas tentang wawancara Menteri Besar Perlis tentang kenyataan beliau berkenaan dakwaan beliau, Perlis amalkan Syafii tulen. Aku terus meminta mereka merujuk kepada tulisanku yang lalu. Pun begitu, setelah aku membaca sendiri tulisan akhbar tentang wawancara tersebut, hati ini mendesak agar aku menulis.

Aku berfikir tentang tajuk yang patut dan sesuai dalam isu ini. Dalam keadaan yang tidak disangka, terpancullah satu tajuk yang padaku menggambarkan apa yang sebenarnya aku berfikir tentang gerakan tajdid yang dicanang oleh sebilangan manusia di negara ini semenjak ianya di lahirkan.

Gerakan Tajdid

Di sana terdapat perbezaan antara “tajdid” dan “jaded”. Kalimah “ad-Din al-Jadid” memberi maksud yang bercanggah dengan syariah, kerana terjemahannya adalah “agama yang baru”. Adapun kalimah “Tajdid ad-din” pula adalah kalimah keramat yang mulia dan layak diungkapkan dalam skop perbincangan ilmiyyah dan perlaksanaan.

Tajdid atau terjemahan Melayunya “pembaharuan”, atau telah diperMelayukan juga kepada kalimah “reformasi” adalah berasal dari kalimah arab “jaddada, Yujaddidu, Tajdid

Tajdid ad-din bermaksud, gerakan untuk melakukan pembaharuan terhadap agama. Gerakan memperbaharukan agama bukan bermaksud mewujudkan agama baru, tetapi mengembalikan agama yang sudah ditinggalkan. Usaha mentajdidkan agama ini bukanlah satu lontaran retorik dan hipokrit, tetapi ianya adalah perkara yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW.

Al-Hakim An-Naisaburi menukilkan satu hadis dalam kitabnya;

عن أبي هريرة رضي الله عنه ولا أعلمه إلا عن رسول الله (ص) قال إن الله يبعث إلى هذه الأمة على رأس كل مائة سنة من يجدد لها دينها

Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah, dan aku tidak mengetahuinya melainkan daripada Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah membangkitkan kepada umat ini atas awal setiap seratus tahun mereka yang akan mentajdidkan baginya agamanya." [1]

Dalam hadis ini, Rasulullah sendiri telah mengungkap kewujudan manusia yang akan melakukan tajdid dalam agama. Mereka berusaha ke arah mengembalikan manusia kepada ajaran Islam yang telah ditinggalkan oleh manusia, khususnya orang Islam sendiri.

Dari hadis ini, secara mafhum di sebalik mantuqnya dapat difahami, atau dalam istilah mazhab Hanafi, secara dilalah isyarahnya, terkandung maksud, di zaman-zaman tertentu, pasti akan wujud manusia yang akan meninggalkan agama. Meninggalkan itu dari sudut pengamalannya di samping menganggap agama bukan perkara utama dalam kehidupan.

Bagi membasmi pemikiran karut ini, baginda SAW menyatakan tentang kewujudan manusia yang beriman untuk mengembalikan mereka kepada Islam mengikut acuannya yang betul. Kehadiran golongan yang mengembalikan mereka kepada Islam dalam bentuk yang betul itu dinamakan sebagai “mujaddid” atau golongan pembaharuan dalam agama.

Ulama Mujaddid

Perjuangan tajdid agama adalah disinonimkan dengan keadaan yang apabila lahirnya pemikiran meninggalkan agama. Atau dalam keadaan manusia menganggap sesuatu amalan yang tidak Islam sebagai Islam.

Dengan kelahiran Imam Ibnu Taimiyyah, Muhammad bin Abdul Wahab, Ibnu Al-Qayyim, Abu Hasan Al-‘Asyari, Hassan Al-Banna, Sayyeq Qutb, Maududi, Imam Ahmad bin Hanbal dan sebagainya adalah membuktikan bahawa mereka ini adalah golongan telah berusaha ke arah pentajdidan yang sesuai di zaman mereka.

Golongan Mujaddid yang lahir di kemudiannya, dengan gaya tajdid yang dipimpin oleh mereka tidak pernah memperlekehkan golongan mujaddid yang terdahulu.

Kita membaca perjuangan Imam Ahmad bin Hanbal (w 241 H) yang telah “berpeluh” dalam menghadapi golongan Muktazilah sehingga dia dipenjara oleh Muktazilah yang memerintah, iaitu zaman pemerintahan Al-Ma’mun yang telah terpedaya dengan dakyah Muktazilah dari seorang “ulama” muktazilah yang bernama Ahmad bin Abi Daud [2].

Perjuangan itu telah disambung oleh murid-murid beliau yang dikenali sebagai golongan Hanabilah. Perjuangan mereka melawan Muktazilah dengan method Imam Ahmad bin Hanbal telah menyebabkan pertembungan hebat antara Muktazilah dan Ahli As-Sunnah ketika itu.

Selepas dari itu, lahir pula seorang tokoh yang tidak kurang juga hebat dalam menghadapi golongan Muktazilah, iaitu Imam Abu Hasan Al-‘As’ari (W 324 H). Cara tokoh ini berserta pengikut-pengikutnya menghadapi Muktazilah agak berbeza dengan cara yang dipersembahkan oleh golongan Hanabilah.

Golongan Hanabilah melakukan usaha menghadapi Muktazilah ketika itu dengan menggunakan method ahli hadis, tetapi Imam Abu Hasan Al-‘As’ari pula menghadapinya dengan menggunakan method “ilmu Kalam”.

Hakikatnya, walau pun mereka berbeza dari sudut cara, tetapi mereka sebenarnya mempunyai satu matlamat, iaitu melakukan gerakan tajdid umat Islam di zaman tersebut daripada terpengaruh dengan pemikiran dan aqidah Muktazilah yang menyesatkan.

Pembuktian atas kesamaan itu adalah, dengan tulisan Imam Abu Hasan Al-‘As’ari yang terawal, iaitu kitab “Al-Ibanah ‘An usul Ad-Diyanah”. Pun begitu, dalam menghadapi Muktazilah yang lebih menggunakan akal dalam berhujjah, maka Imam Abu Hasan Al-‘As’ari telah menulis kitab “Al-Luma’” sebagai jawapan balas atas kesesatan Muktazilah yang menyesatkan. Menurut kajian, antara kitab al-Ibanah dan kitab al-Luma’, kitab al-Ibanah adalah kitab terdahulu ditulis oleh Imam Abu Hasan Al-‘As’ari berbanding kitab al-Luma’.[3]

Dari kedua-dua cara ini, didapati golongan Hanabilah yang berilmu, tidak menghina cara yang dibawa oleh Imam Abu Hasan Al-‘As’ari, bahkan sebaliknya, mereka memuji dengan cara tersebut.

Antara tokoh Hanabilah yang memuji gaya Imam Abu Hasan Al-‘Asari adalah Imam Ibnu Taimiyyah. Ini dapat dibuktikan dengan kata-kata beliau didalam kitab Majmu’ al-Fatawa;

فإنا لما أردنا أن نبين مذهب السلف ذكرنا طريقين أحدهما أنا ذكرنا ما تيسر من ذكر ألفاظهم ومن روى ذلك من أهل العلم بالأسانيد المعتبرة والثاني أنا ذكرنا من نقل مذهب السلف من جميع طوائف المسلمين من طوائف الفقهاء الأربعة ومن أهل الحديث والتصوف وأهل الكلام كالأشعري وغيره



Maksudnya:
Jika kami mahu menerangkan mazhab Salaf, maka kami melakukan dengan dua cara.

Pertama: Kami menyebut lafaz-lafaz mereka yang mudah dan menyebut perawinya yang terdiri daripada ahli Ilmu dengan sanad yang diterima pakai. Kedua: Kami menyebut orang-orang yang menukilkan mazhab Salaf daripada semua kumpulan Islam yang terdiri daripada fuqaha’ empat, ahli hadis, ahli tasawwuf, ahli kalam seperti golongan ASHAAIRAH dan lain-lainnya.

Jadilah mazhab Salaf dinukilkan dengan kesepakatan kumpulan-kumpulan (Islam) dan dengan cara mutawatir. Kita tidak mengistinbatkan sesuatu itu (sebagai salaf iaitu datang kurun pertama) dengan semata-mata ia bertepatan dengan kita dan kita tidak mengistinbatkan salah disebabkan ia bersalahan dengan kita sebagaimana yang dilakukan oleh ahli-ahli bidaah. [4]

Dari itu, kita dapat melihat bagaimana “keharakian” yang wujud dalam jiwa mujaddid-mujaddid ini dalam menghadapi musuh di zaman mereka.

Sejarah Tanah Melayu Untuk Tajdid di Malaysia

Kalimah “tajdid” tidak perlu dilaungkan bagi mengajak manusia kepada Islam. Pentajdidan ini berlaku dengan sebab kesedaran dari sebilangan ulama yang melihat bagaimana manusia sudah meninggalkan Islam.

Berdasarkan kepada sejarah, perjuangan Barat dalam menjahanamkan Islam di Malaysia sudah lama berlaku. Melaka yang pernah menjadi “pusat dagangan antarabangsa”, telah banyak menyediakan bekalan barang dagangan untuk dihantar ke Turki merupakan pusat pemerintahan Islam, telah dijatuhkan oleh Barat pada tahun 1511.

Apa yang pasti, sesuatu yang tidak boleh dinafikan, Islam adalah agama yang pernah memerintah di Tanah Melayu. Pembuktiannya boleh dlihat dengan sistem pemerintahan Islam yang diamalkan di zaman Raja-Raja Melayu ketika itu.

Siapa yang tidak kenal dengan Sultan Zainal Abidin III yang berjaya menubuhkan satu rangka Perlembagaan Terengganu ketika itu, yang perlembagaan itu dikenali sebagai Itqan Al-Muluk bi Ta’dil As-Suluk, Sultan Alauddin Syah yang telah melaksanakan undang-undang hudud di Melaka, Sultan Zulqarnain dari Kesultanan Perak yang mengarahkan Faqih Yusof, seorang ulama Acheh untuk mengendalikan perlaksanaan syariah di Perak ketika itu, Sultan Muhammad Jiwa dari Kesultanan Kedah berjaya melaksanakan undang-undang, ekonomi, politik, hubungan luar dan sebagainya, yang semuanya berasaskan kepada Islam atas nasihat seorang ulama yang bernama As-Syaikh Abdul Jalil Al-Madani, Sultan Mahmud II dari Kesulatanan Kelantan yang berjaya melaksanakan pentadbiran secara Islam di negeri Kelantan ketika itu dan banyak lagi sejarah yang perlu kepada kajian sebagai pembuktian negara ini pernah diperintah oleh Islam [5].

Apa yang menyedihkan, kebencian pihak Barat terhadap Islam tidak kehabisan. Mereka telah berusaha dengan berbagai-bagai cara untuk menjatuhkan Islam di semua tempat. Semuanya ini, hakikatnya membenarkan kandungan firman Allah SWT dalam firman-Nya:

وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

Maksudnya:
Dan tidak akan redha Yahudi dan Nasrani hinggalah kamu mengikut millah (cara hidup) mereka. (Surah Al-Baqarah : 120)

Alfonso de Albuquerque adalah antara orang yang bertanggungjawab dalam menjatuhkan pemerintahan Islam di Melaka. Beliau yang berasal dari Sepanyol, beragama Kristian telah menyerang umat Islam di Tanah Melayu dengan pelbagai tindakan. Dia telah mengarahkan pengikut-pengikutnya agar membunuh orang-orang Islam di Melaka, rumah-rumah mereka diruntuhkan, orang Islam dibakar hidup-hidup dan berbagai-bagai kegiatan jahat yang dilakukan oleh musuh Islam ketika itu [6].

Kedatangan penjajahan Portugis buat kali keduanya yang dikepalai oleh Diego Lopez de Sequera ke Melaka, sekali lagi menyedihkan umat Islam di Tanah Melayu. Portugis telah menakluki Melaka pada tahun 1511 yang menyebabkan Melaka bukan sekadar dijajah, tetapi sudah menjadi pusat pentadbiran dan ketenteraan Portugis ketika itu, malahan menjadi pusat penyelarasan agama Kristian Katholik yang terawal di rantau ini.

Dengan keadaan inilah menyebabkan Melaka telah menjadi tempat persinggahan para paderi Kristian Katholik dalam pelayaran untuk menyebarkan agama mereka di Indonesia, Jepun, China dan Kepulauan Maluku [7].

Dengan perkembangan inilah, lahirnya satu keturunan yang disebut sebagai SERANI yang asalnya adalah bermula dari perkahwinan antara mereka yang berbangsa Portugis beragama Kristian dengan perempuan-perempuan tempatan yang beragama Islam [8].

Perkembangan Kristian di Tanah Melayu semakin menjadi-jadi lagi dengan masuknya pihak Inggeris. Penaklukan Pulau Pinang oleh Francis Light pada tahun 1786 dan penyerahan Melaka oleh Belanda kepada Inggeris pada tahun 1824 menyebabkan Tanah Melayu menjadi pusat persaingan antara Kristian Katholik dan Kristian Protestan.

Francis Light telah mendirikan kolej latihan Katholik bagi para muballigh di Pulau Pinang pada tahun 1807. Kolej ini kemudiannya menjadi sebuah pusat latihan gereja Katholik yang penting di rantau ini [9]. Dari sini, bermulalah penyebaran Kristian secara berleluasa di Tanah Melayu ketika itu.

Berbagai-bagai usaha telah dilakukan oleh musuh-musuh islam ini, mereka telah menerbitkan juga sebuah majalah Melayu bernama Bustan Al-‘Arifin iaitu sebuah majalah yang mengandungi rencana-rencana agama Kristian; selain dari itu berita-berita, sejarah dan kesusasteraan yang menguntungkan Kristian. Orang yang bertanggungjawab menerbitkan semua itu adalah seorang yang berbangsa Denmark yang diamanahkan oleh pihak Inggeris bernama Thomsen.

Mengenangkan bangsa Melayu ketika itu tidak memahami bahasa Inggeris, segala terbitan itu dibuat dalam Bahasa Melayu bertulisan Jawi. Orang yang bertanggungjawab menterjemahkannya adalah seorang yang dianggap tokoh oleh kepimpinan Negara pada hari ini, iaitu Abdullah Munsyi [10]. Tidak cukup sekadar itu, serangan dalaman telah dilakukan oleh golongan Barat terhadap Islam dan umatnya di alam Melayu.

Dengan gabungan dua tokoh kuffar bernama Raffles yang berminat dengan selok-belok bahasa dan kesusasteraan Melayu serta mahir dengan adat-istiadat dan kebudayaan Melayu, dan Hungronje yang merupakan seorang sarjana dan ilmuan yang luas pengetahuannya dalam bidang pengajian Islam serta pakar dalam bidang sosio-budaya masyarakat Indonesia telah menyebabkan mereka berpendapat, serangan yang perlu dilakukan kepada alam Melayu adalah dengan serangan pemikiran (Ghuzwah al-Fikri).

Hungronje telah menggariskan beberapa dasar yang kemudiannya menjadi dasar dalam menghadapi umat Islam di alam Melayu. Antara dasar-dasar itu adalah:
  • Pisahkan antara agama dengan doktrin politik;
  • Sempitkan pemahaman Islam kepada ibadat sahaja;
  • Amalan ibadat haji jangan disekat;
  • Berusaha mencegah gerakan-gerakan Islam yang menggunakan laluan politik;
  • Mencegah ulama dari duduk dalam institusi kerajaan;
  • Memperkuatkan kedudukan pemimpin golongan adat (kebangsaan) [11].

Jika dikaji, hakikat dasar-dasar yang dinyatakan ini adalah dari pemikiran yang diciplak dari Lord Cromer, seorang pentadbir Inggeris di Mesir yang telah berusaha untuk melahirkan anak-anak tempatan Mesir yang berdarah Mesir, tetapi fikiran dan pegangan hidupnya selari dengan kehendak Inggeris.

Tajdid Sebenar di Malaysia

Melihat kepada ulasan di atas, dapat difahami, usaha menjatuhkan Islam dalam sudut pemerintahan telah berjaya dilakukan oleh Barat. Segala dasar-dasar yang dikemukakan oleh Barat dalam merosakan Islam juga telah sampai ke kemuncak kejayaannya.

Apa yang pasti, dalam keadaan ini, tajdid yang sebenar adalah mengembalikan manusia kepada pengamalan Islam dari semua sudut. Islam mesti dikembalikan sebagai sebuah agama yang tidak dipisahkan dengan doktrin politik yang telah berjaya direnggangkan oleh Barat dari umat Islam dulu dan kini.

Maka kesimpulan dari ulasan ini, di negara kita, tajdid yang sebenar, bukanlah perbincangan tentang khilafiyyah, seperti tahlil, talqin, baca Al-Quran di kubur dan sebagainya. Tetapi tajdid yang sebenar adalah menyeru manusia kepada pemurnian akidah, iaitu Islam adalah agama yang memerintah, bukan diperintah.

Penutup

Kalau ada suara-suara sumbang dari sebilangan pihak yang mendakwa bahawa politik tidak boleh disinonimkan dengan gerakan tajdid, mereka merupakan golongan terlalu jumud dengan pemahaman Islam yang sebenar di samping tidak mengerti pergerakan sejarah dunia.

Apa yang pasti, mengembalikan pemerintahan Islam adalah satu perkara yang wajib ditunaikan oleh setiap umat. Dengan adanya kekuatan pemerintahan yang bermula dari doktrin politik, musuh-musuh Islam akan menjadi gerun dengan Islam. Ini adalah kerana, Islam ketika itu adalah agama yang sudah memerintah dan dapat membina manusia yang berani dalam melaksanakan kebenaran.

Cuma cara perlaksanaannya berbeza antara satu dengan yang lain. Walau bagaimanapun, kaedah yang paling tepat di negara ini adalah dengan melibatkan diri dengan pilihanraya bagi menambah jumlah kerusi dalam Parlimen yang memungkinkan Islam memerintah di negara.

Justeru itu, melibatkan diri dalam jemaah Islam yang berusaha ke arah mendaulatkan Islam merupakan gerakan tajdid yang sebenar berdasarkan situasi di Malaysia, bukan golongan yang mendakwa membawa bendera “tajdid”, tetapi bersekongkol dengan anak Melayu yang beragama Islam, tetapi berfikiran Barat.

Sekian. Wallahu ‘Alam

---

NOTA KAKI


[1] Al-Mustadrak ‘Ala Sahihain : 4/567 : hadis no : 8592.
[2] Riwayat Hidup 4 Imam Mazhab : 4/90
[3] Tesis Master UKM yang bertajuk : sumbangan aliran Ash’ariyyah dan Salafiyyah dalam bidang Usuluddin : Larangan semula sejarah pemikiran Tauhid ahl al-sunnah wa al-jamaah : m/s 14.
[4] Majmu’ Al-Fatawa : 4/152.

[5] Tradisi Pemerintahan Islam & Kolonialisme dalam Sejarah Alam Melayu : m/s 17-23.
[6] Tradisi Pemerintahan Islam & Kolonialisme dalam Sejarah Alam Melayu : m/s 60
[7] Tradisi Pemerintahan Islam & Kolonialisme dalam Sejarah Alam Melayu : m/s 63.
[8] Tradisi Pemerintahan Islam & Kolonialisme dalam Sejarah Alam Melayu : m/s 64.
[9] Tradisi Pemerintahan Islam & Kolonialisme dalam Sejarah Alam Melayu : m/s 66.
[10] Tradisi Pemerintahan Islam & Kolonialisme dalam Sejarah Alam Melayu : m/s 67.
[11] Tradisi Pemerintahan Islam & Kolonialisme dalam Sejarah Alam Melayu : m/s 74.

---
Artikel ini ditulis oleh al-Bakistani dan diletakkan di sini dengan terdapat sedikit perubahan pada format persembahannya.

Kisah Jarum

Di suatu bandar besar terdapat 10 orang lelaki yang mahir membuat jarum. Mereka masing-masing bekerja sebagai tukang pembuat jarum. Setiap orang pada setiap hari, dapat menyiapkan hanya 3 bilah jarum. Mereka tidak dapat menyiapkan lebih dari 3 bilah jarum sahaja.

Akhirnya mereka bersepakat untuk bekerjasama dan membahagikan tugas untuk meningkatkan pengeluaran jarum.

Jadi, mereka dapat membuat pengkhususan kerja. Seorang tukang jarum ditugaskan mencari logam atau besi untuk dijadikan jarum. Seorang lagi bertugas menguruskan dan menyediakan bahan api. Seorang tukang lagi bertugas membentuk lubang jarum, seorang yang lain bertugas memasukkan jarum ke dalam api yang disediakan dan tukang yang lain bertugas mengasah jarum menjadi tajam. Dan begitulah seterusnya tukang jarum yang lain berperanan dalam menghasilkan jarum.

Masa setiap orang tidak berlalu sia-sia kerana masing-masing ada bahagian yang dipertanggungjawabkan. Mereka dapat menyelesaikan dengan cepat dan kemas kerana kerja mereka terfokus serta mereka mahir setelah berulang kali dilakukan.

Setelah dihitung pengeluaran jarum mereka, setiap tukang jarum itu telah berjaya menghasilkan 300 bilah jarum satu hari jika dibandingkan hanya 3 bilah sebelum ini. Inilah hasil dari kesatuan dan pembahagian tugas.

Daripada kisah di atas yang albazrah adaptasi dari Risalah Ikhlas, Risale-i Nur oleh Ustaz Nursi, nyata di sini keikhlasan dan persaudaraan sangat penting. Keuntungan di dunia seperti kisah jarum di atas terbukti dengan kerjasama dan keikhlasan, sifat mempercayai dan tidak berhasad dengki sesama tukang jarum.

Keuntungan di dunia dapat kita lihat seperti kisah berkenaan. Menurut Ustaz Nursi, begitu juga amalan untuk akhirat. Kalau kerja baik, amar makruf nahi mungkar dan apa sahaja urusan yang diniatkan untuk akhirat keuntungannya lebih berganda. Setiap kebaikan diganda sepuluh. Dalam keadaan tertentu dan waktu tertentu ia meningkat dan berganda lagi.

Sudahlah wahai pejuang Islam, wahai yang mendakwa diri berjuang untuk Islam, jangan hanya melihat kekurangan orang lain. Mainlah peranan di bidang kepakaran masing-masing. Bersatulah memperjuangkan Islam tercinta dengan keupayaan dan kemahiran masing-masing yang telah Allah kurniakan. Semua keuntungan akhirat akan yang berganda itu tidak akan dapat kita kecapi dengan saling berhasad dan tiada keikhlasan.

Subhanaka la 'ilma lana illa ma 'allamtana, innaka Antal 'Alimul Hakim

---
Artikel ini ditulis oleh Al-Bazrah.

Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama

 
Setiap tulisan yang ada di sini adalah digalakkan untuk disebarkan. Pro Tajdid direkabentuk oleh Tawel Sensei sambil melayan Radio IKIM.